Projek landskap Southern Central Forest Spine: Menghubungkan titik antara hutan, tanah dan manusia
Landskap Southern Central Forest Spine (SCFS) di Semenanjung Malaysia merupakan habitat kepada beberapa spesies flora dan fauna serta mengandungi koridor hidupan liar yang penting untuk harimau dan gajah. Namun begitu, pengurangan secara beransur-ansur haiwan-haiwan tersebut akibat penebangan hutan selama beberapa dekad telah mengganggu ekosistem hutan dengan memutuskan hubungan antara hutan dan meningkatkan konflik antara manusia dan hidupan liar, terutamanya gajah.
Cargill telah bekerjasama dengan Earthworm Foundation, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang telah mengusahakan projek transformasi rantaian bekalan di Malaysia sejak tahun 2013. Cargill dan Earthworm telah bekerjasama dalam projek landskap SCFS sejak tahun 2021 dengan matlamat untuk melindungi dan memulihara hutan di rantau ini.
Karl Yen Quek, Ketua Negara bagi Earthworm Foundation Malaysia dan Pitt Onn Wong, Pengurus Penglibatan – Kelestarian, Cargill Malaysia, bercakap tentang apakah matlamat pencapaian projek.
Apakah kepentingan projek landskap Southern Central Forest Spine (SCFS)?
Karl: SCFS merupakan wilayah penyumberan untuk hasil hutan dan komoditi yang penting bagi pelbagai syarikat. Kami percaya bahawa dengan menangani rantaian bekalan individu untuk mengurangkan impak ke atas hutan dan menggunakan pendekatan landskap, kita akan mampu bersama-sama memberikan hasil yang lebih baik, kerana ia membolehkan syarikat seperti para pengusaha sawit dan pembeli produk sawit, kerajaan tempatan dan masyarakat sivil untuk bersama-sama menangani cabaran sosial dan alam sekitar yang semakin kompleks. Kaedah ini boleh memastikan pendekatan yang lebih berfokus untuk menghasilkan impak yang diingini. Projek SCFS bermatlamat untuk mencipta model landskap yang lestari bagi menunjukkan etika perniagaan dijalankan dengan matlamat untuk memastikan pengeluaran secara mampan dan lestari, pemuliharaan hutan dan peningkatan sumber pendapatan masyarakat luar bandar, secara menyeluruh.
Pitt Onn Wong (left) and Karl Yen Quek (right)
Bagaimanakah pendekatan landskap menangani keperluan guna tanah secara bertanggungjawab?
Karl: Kami sedang melatih para pekebun tempatan dan pemilik ladang kelapa sawit untuk menambah baik amalan pengurusan ladang; dan mencuba pendekatan pertanian regeneratif untuk mengekalkan tanah yang subur dan produktif serta mengekalkan kepelbagaian biodiversiti. Kami juga mencuba pendekatan dengan penglibatan kerjasama antara syarikat, NGO dan ahli akademik yang akan membangun dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi memelihara biodiversiti di Southern Central Forest Spine.
Selain itu, kami telah mengenal pasti satu koridor dengan kekerapan pergerakan gajah yang tinggi, di mana kami, dengan kerjasama organisasi setempat di landskap tersebut, akan merintis program bersepadu yang akan membantu manusia dan gajah hidup bersama-sama dengan aman.
Apakah kandungan latihan anda untuk para petani?
Pitt: Para petani sering beranggapan bahawa lebih tinggi input baja, lebih tinggi produktiviti tanaman. Secara realitinya, ini tidak semestinya berlaku. Petani membazirkan banyak wang jika mereka membeli lebih banyak baja daripada yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi, tanaman hanya menyerap sejumlah nutrien tertentu, input baja berlebihan akan menjadi satu pembaziran dan menyebabkan kemerosotan tanah, sekali gus menjejaskan kelestarian operasi pertanian.
Dengan menyediakan latihan dan pendidikan yang tepat kepada para petani, kami membantu mereka menggunakan baja dengan cekap, dengan pembaziran yang minimum. Ini membantu mereka mengoptimumkan sumber dan meningkatkan pendapatan. Dalam masa yang sama, mereka boleh menumpukan sumber mereka dalam bidang seperti pengurusan makhluk perosak dan pemeliharaan ladang, malah mampu mempelbagaikan pendapatan mereka dengan melakukan tanaman selingan (menanam tanaman kontan lain seperti tembikai).
Bagaimanakah kebolehkesanan membantu proses penghutanan semula dalam projek landskap ini?
Pitt: Kebolehkesanan adalah aspek yang sangat penting dalam projek SCFS, yang mana kami telah bekerjasama dengan para pengeluar minyak sawit, rakan kongsi kelestarian dan NGO. Mengetahui di mana kelapa sawit ditanam membolehkan kami memantau kawasan tersebut dengan teliti, mengesan sebarang isu/risiko dengan cepat dan bertindak balas dengan sewajarnya untuk mencegah penebangan hutan.
Cargill komited untuk menghapuskan penebangan hutan daripada rantaian bekalan pertanian kami secara global untuk ‘deforestation-and-conversion-free’ (DCF) menjelang tahun 2030. Komitmen untuk mengekalkan sumber asli kita yang paling penting ini bermula dengan para petani yang merupakan penjaga bumi kita. Terdapat pelbagai cabaran dalam rantaian bekalan minyak sawit, termasuk penebangan hutan, bukan hanya tertumpu pada kilang sawit secara individu atau sektor sawit tetapi adalah topik penting di peringkat serantau dan merentas komoditi. Untuk memacu perubahan yang bermakna, Cargill memberikan tumpuan pada penglibatan para pembekal di peringkat kilang serta melalui kerjasama pelbagai pihak di peringkat landskap.
Sasaran dan hasil penebangan hutan di bawah projek landskap SCFS
Sasaran tahun 2025 | Status pada penghujung tahun 2021 |
---|---|
>75% kilang kelapa sawit memiliki pelan tindakan untuk visi Tiada Penebangan Hutan, Tiada Penerokan Hutan Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi Pekerja dan Orang Asli (Asal) (NDPE) | 40% kilang mempunyai pelan tindakan NDPE |
>50% pengurangan dalam penebangan hutan | Penebangan hutan pada tahun 2021 adalah 26% lebih rendah berbanding tahun 2020 |
Apakah pembelajaran anda daripada projek tersebut dan apakah langkah seterusnya?
Karl: Pertama, adalah sangat penting untuk melibatkan projek ini dengan kerajaan terutamanya untuk mencapai jangkauan dan impak secara berterusan. Kedua, anda perlu memahami konteks dan cabaran landskap yang unik untuk mereka bentuk ideologi dan projek yang berkesan. Ketiga, adalah penting untuk mempunyai rakan kongsi yang memiliki kemahiran yang berbeza untuk membantu memberi impak dan halatuju yang diingini untuk projek ini.
Pada tahun 2021, kami mula mereka bentuk pendekatan pengukuran impak untuk menilai impak projek landskap secara menyeluruh. Kami juga telah mencipta platform untuk mengukuhkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan. Kami akan membina elemen ini pada tahun 2022 dan seterusnya.